TELUK INTAN: Seorang penjual kalung bunga berdepan detik cemas selepas disamun lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan dalam kejadian di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.06 pagi semasa mangsa berusia 65 tahun itu sedang menjual kalung bunga di hadapan rumahnya.
Katanya, seorang lelaki kemudian datang dan telah berpura-pura meminta mangsa membuat kalungan bunga untuk dibeli.
“Semasa mangsa sedang membuat kalungan bunga, suspek telah mendekati wanita itu dari belakang dan meragut rantai emas yang dipakainya.
“Mangsa telah bergelut dengan suspek dan ditolak hingga jatuh. Mangsa telah menjerit meminta tolong dan didengari oleh anak lelakinya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, panik dengan jeritan mangsa, suspek segera melarikan diri bersama dengan sebahagian rantai yang berjaya diragut.
Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di leher dan luka di bahagian tangan, kaki dan pinggul.
“Laporan polis dibuat mangsa pada hari sama pada pukul 8.20 pagi. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan samun,” katanya.
Tambah beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, diminta tampil menghubungi polis bagi membantu mengesan lelaki berkenaan
“Suspek dipercayai seorang warga tempatan berbadan gempal, berkulit gelap, memakai topi keledar dan pelitup muka berwarna hitam serta memakai jaket berwarna hitam kuning. Suspek juga menunggang motosikal Honda Wave 125 dengan nombor pendaftaran tidak pasti.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Muzlifah Azmi di talian 011-21858926 atau Balai Polis Teluk Intan di talian 05-6292222,” katanya. – UTUSAN