PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menegaskan bahawa tiada sebarang perbincangan dijalankan untuk mengimport beras putih dari Pakistan.
Bernas dalam kenyataan berkata, Pakistan adalah salah satu negara utama pembekal Beras Putih Import (BPI) kepada pihaknya sejak sekian lama, selain Thailand, Vietnam dan India,
Katanya, Malaysia tidak mengalami sebarang krisis bbekalan beras dan stok BPI sentiasa mencukupi bagi keperluan negara serta memastikan ketersediaan bekalan beras secara berterusan tanpa sebarang gangguan.
“Bernas menggalakkan agar kenyataan media yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan isu import beras hendaklah disokong dengan fakta dan perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Bernas untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta impak kepada kestabilan pasaran beras negara,” katanya hari ini.
Kelmarin dilaporkan, cadangan kerajaan untuk mengimport beras putih dari Pakistan dianggap sebagai penyelesaian berpotensi bagi menangani isu harga dan bekalan beras di pasaran tempatan.
Ia susulan kenyataan Pengerusi Pasukan Khas (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Negara Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa cadangan import beras putih Pakistan telah dikemukakan kepada Bernas.
Syed Abu Hussin berkata, cadangan itu telah disampaikan kepada Bernas selaku pengimport tunggal beras negara.
“Saya dan Perdana Menteri baru-baru ini ke Pakistan dan mereka menawarkan 100,000 tan metrik beras melalui 28 pengeksport. Cadangan ini sudah dimaklumkan kepada Bernas dengan keizinan Perdana Menteri, namun tindakan susulan masih belum dimuktamadkan,” katanya.
Dalam pada itu, Bernas berkata, pihaknya sentiasa memastikan harga BPI di Malaysia kekal kompetitif dan sejajar dengan corak harga pasaran dunia.
Tambahnya, Bernas komited terhadap tanggungjawab sosial yang ditetapkan dengan memastikan padi tempatan sentiasa mendapat pasaran yang baik apabila pesawah tidak dapat memasarkan padi keluaran mereka kepada kilang swasta.
“Bernas juga melaksanakan pengurusan stokpail yang mampan dan memastikan ketersediaan bekalan beras di dalam negara yang mencukupi adalah antara 10 obligasi sosial Bernas bernilai RM3.2 bilion sepanjang tempoh konsesi.
“Menyokong kebajikan pesawah melalui perkongsian keuntungan beras import sebanyak 30 peratus dan bantuan ‘one off’ RM60 juta kepada pesawah yang diumumkan baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN