Beri ruang rakyat berhimpun secara aman - Hassan Karim

Beri ruang rakyat berhimpun secara aman – Hassan Karim

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan perlu memberikan ruang kepada rakyat untuk berhimpun secara aman khususnya membabitkan bantahan terhadap amalan rasuah yang menjadi agenda utama pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri sewajarnya perlu menjadi orang tengah agar perhimpunan itu dapat dijalankan dengan secara aman.

Katanya, perhimpunan aman seumpama itu tidak membahayakan negara apabila menjadikan benci rasuah sebagai agenda utama acara tersebut.

“Apa bahayanya perhimpunan anak-anak muda dan anggota masyarakat yang ingin menyatakan fikiran mereka benci kepada rasuah?

“Tidakkah Kerajaan Perpaduan ini menjadikan tema benci kepada rasuah adalah perjuangan nombor satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadual pada Sabtu ini, bermula di Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka, tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Beliau berkata, pihaknya mengesahkan sudah menerima notis pemberitahuan bagi penganjuran himpunan terbabit.

Bagaimanapun katanya, semakan yang dibuat mendapati notis pemberitahuan perhimpunan itu tidak lengkap dengan tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, Menteri Dalam Negeri justeru itu perlu membantu para aktivis untuk berhimpun secara aman.

“Itu hak rakyat. Tujuan mereka hendak lawan rasuah. Ia selari dengan matlamat kerajaan sekarang pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi Menteri Dalam Negeri perlu menasihati pihak polis supaya menjadi fasilitator atau pemudah cara untuk orang ramai berhimpun secara aman,” katanya.

Hassan berkata, nama baik kerajaan Madani akan jadi buruk jika menekan hak rakyat untuk berhimpun.

“Kerajaan PH khususnya PKR adalah kerajaan yang dibina daripada gerakan di jalan raya dan perhimpunan aman. Jangan lupa sejarah PH terutama PKR itu sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya