Beras Melaka mula dijual Februari

Beras Melaka mula dijual Februari

MUHAMAD AKMAL Saleh (dua dari kiri) menunjukkan kampit beras padi MR 297 pada Program Walkabout Projek Benih Padi Negeri Melaka di Merlimau, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Beras Melaka yang dihasilkan daripada jenis padi MR 297 akan dijual pada harga RM26 bagi sekampit 10 kilogram (kg) pada bulan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memasarkan beras putih tempatan itu dalam Melaka terlebih dahulu.

Kata beliau, orang ramai boleh mendapatkan beras Melaka di pasar tani atau pada program-program khas yang dianjurkan.

“Kita (kerajaan negeri) akan minta FAMA beli semua beras ini untuk kita pasarkan di Melaka dulu sebab sekarang ini beras susah nak cari (dapat). Jadi kita proses padi yang ditanam sendiri dan jual pada harga pasaran RM26 (10kg). 

“Buat masa ini padi sedang dituai sebelum diproses menjadi beras dan dijangka akan dijual pada Februari. Kita akan buat jualan sekurang-kurangnya satu daerah satu tempat mengikut stok yang ada secara walk-in dengan satu paket terhad untuk satu keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Walkabout Projek Benih Pada Negeri Melaka di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai hasil tuaian padi MR 297, Muhamad Akmal berkata, sebanyak 80 tan benih padi berjaya dihasilkan membabitkan kawasan penanaman seluas 42 hektar.

Menurutnya, angka itu dapat memenuhi hampir separuh daripada jumlah benih padi yang diperlukan di Melaka iaitu sebanyak 180 tan bagi satu musim penanaman.

“Tidak semua padi yang ditanam di kawasan 42 hektar ini boleh dijadikan ladang benih tetapi mungkin sekurang-kurangnya separuh daripada itu kita boleh dapat (benih padi). Kita jangkakan sebanyak 80 tan benih padi dapat dihasilkan dan khas untuk pesawah di Melaka sahaja.

“Selain itu, pesawah juga dapat membeli padi pada harga lebih murah berbanding jika mereka membeli daripada orang tengah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya