Bengkel kewartawanan dedah cabaran era digital

 Bengkel kewartawanan dedah cabaran era digital

Bengkel Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Shah Alam dikendalikan oleh 47 pelajar dan melibatkan lima penceramah bengkel membincangkan cabaran etika kewartawanan dalam era teknologi digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Era teknologi digital membawa cabaran besar kepada kewartawanan dalam menguji integriti, etika dan ketepatan di tengah persaingan dunia media yang pantas.

Oleh itu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) bekerjasama menganjurkan Bengkel Kewartawanan 3.0 bagi membincangkan cabaran etika kewartawanan dalam era teknologi digital.

Penasihat Projek Bengkel Kewartawanan 3.0, Azlinawati Ngainon berkata, program tersebut bukan sahaja menumpukan kepada perkongsian pengalaman dan pandangan mengenai isu-isu semasa berkaitan etika kewartawanan serta cabaran di era digital, tetapi ia juga di selitkan aktiviti praktikal bagi memperkukuh pembelajaran.

Katanya, bengkel ini adalah satu platform penting untuk pelajar dan pengamal media muda mempelajari secara langsung tentang dunia kewartawanan yang penuh dengan cabaran etika, terutamanya dalam menghadapi tekanan teknologi digital yang semakin kompleks.

“Kami berharap agar bengkel ini dapat memberikan panduan dan membuka pemikiran peserta mengenai isu-isu kewartawanan yang kritikal.

“Program kali ketiga penganjurannya ini telah berjaya memberi pendedahan pentingnya kerjasama dan jalinan jaringan industri kepada bakal pengamal media selain membuka ruang literasi kepada peserta yang bukan berlatar belakang komunikasi dan media.

“Pihak penganjur berharap agar ia dapat menjadi acara tahunan yang memberi impak positif

kepada perkembangan bidang kewartawanan dan juga terus mendapat sokongan daripada pakar dan pengamal industri kewartawanan di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Bengkel kewartawanan 3.0 yang berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Disember lalu di UiTM Shah Alam telah berjaya menarik lebih 100 penyertaan daripada pelbagai latar belakang. 

Dalam bengkel ini, peserta diberikan pendedahan mendalam mengenai pentingnya tanggungjawab profesional dalam dunia kewartawanan yang semakin dipengaruhi oleh media sosial dan perkembangan digital.

Dalam pada itu, Pengarah Projek, Siti Nur Arina Mohd Noor berkata, penyertaan yang menggalakkan menunjukkan minat tinggi pelajar dan pengamal media muda terhadap etika kewartawanan, terutama dalam era berita palsu. 

“Bengkel ini juga memberi ruang untuk peserta bertukar pendapat dengan panel berpengalaman serta mengukuhkan hubungan antara universiti dan industri media. 

“Antara topik yang dibincangkan termasuk cabaran menyaring maklumat sahih, kewajipan wartawan memastikan ketepatan fakta dan peranan teknologi dalam media masa kini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya