ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berpandangan harga belian padi yang sesuai dengan harga beras semasa ketika ini adalah sekitar RM1,500 sehingga RM1,600 per tan metrik.
Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, harga itu dilihat mampu mengimbangi harga beras yang hanya pada kadar RM2,800 per tan metrik ketika ini.
Katanya, harga lantai belian padi yang ditetapkan RM1,300 per tan metrik sejak Oktober 2023 perlu ditingkatkan kepada jumlah lebih tinggi kerana ia dilihat tidak memadai untuk pesawah menampung kos penghasilan padi yang semakin meningkat.
“Ada tiga perkara yang mesti dilihat dalam usaha untuk menangani isu ini, pertama ialah peladang iaitu mereka yang membuat sawah, kedua adalah pengguna beras iaitu rakyat keseluruhannya dan ketiga adalah pengilang.
“Melihat kepada tiga komponen ini mesti bersekali dengan harga-harganya iaitu harga beras putih tempatan, harga padi dan harga benih kerana ia akan menentukan antara satu sama lain.
“Misalnya harga beras sekarang agak murah, katakan RM2,800 setiap tan metrik, maka sudah tentu harga padi yang sesuai dibeli adalah sekitar RM1,500 atau RM1,600 dan jika harga padi sekitar itu, maka harga padi benih adalah RM150 ke RM200 lebih mahal daripadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik berbanding RM1,200 iaitu kadar sejak 2014 bagi membantu menambah pendapatan pesawah.
Kata Dr. Ismail, beliau berterima kasih kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang sedang meneliti untuk menaikkan harga lantai belian padi dengan membawa perkara itu ke Kabinet.
Bagaimanapun ujarnya, pembaharuan terhadap industri padi negara mesti berterusan agar dapat mencapai penghasilan tinggi padi berbanding kini yang masih dalam kategori rendah.
“Usaha untuk meningkatkan hasil ini mesti berterusan melibatkan empat perkara iaitu kesuburan tanah, pengairan, pengurusan dan varieti padi itu sendiri. Kalau hasil tinggi sudah tentu peladang kita akan menikmati hasil lebih dan kos keseluruhan dalam industri padi ini mesti dilihat semula dan mesti diturunkan.
“Pada masa sama, projek Penanaman Padi Berskala Besar perlu diperluaskan untuk memastikan bahawa hasil kita tinggi dan kos rendah,” katanya. – UTUSAN