Belia paling ramai ambil dadah

Belia paling ramai ambil dadah

RUSLIN menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Ketua Pengarah AADK di Ibu Pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sungai Merab di sini, hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Belia berusia 19 hingga 39 tahun kumpulan paling tinggi dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah iaitu seramai 98,977 atau 58.3 peratus pada tahun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 169,691 penagih dadah direkodkan dari Januari hingga September 2024 iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 31.6 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 119,410 individu atau 70 peratus daripada 169,691 orang yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini dikenal pasti menggunakan dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi.

“Kadar peningkatan itu sebahagian besar disumbangkan oleh dadah jenis sintetik memandangkan bahan terlarang tersebut lebih mudah didapati.

“Dadah yang paling banyak disalahgunakan adalah amphetamine type stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi melibatkan 119,410 orang bersamaan 70 peratus.

“Ia diikuti oleh dadah jenis opiat membabitkan seramai 38,854 orang manakala ganja seramai 6,750 orang dan selebihnya dadah jenis lain,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Amanat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, sehingga 10 Januari tahun ini, seramai 58,875 orang sedang dirawat di 108 buah AADK Daerah dan 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 1,502 orang klien sukarela dan 57,373 orang klien mandatori.

Justeru, Ruslin mengakui bahawa pendekatan lebih agresif dan inovatif perlu diambil bagi menangani kes penyalahgunaan dadah sintetik.

“AADK sedang merangka Pelan Komunikasi Antidadah bagi menyebar luas mesej antidadah yang tepat dan terkini.

“AADK juga akan memperkukuh kerjasama dengan agensi lain untuk memahami masalah dan mencari penyelesaian yang berkesan,” katanya.

Tambah Ruslin, AADK mencatat sebanyak 79 peratus Kadar Kepulihan Klien pada tahun 2024 berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 77peratus.

“Seramai 17,652 orang klien memenuhi kriteria kekal pulih daripada 22,224 orang klien yang telah tamat Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti sepanjang Januari hingga Disember 2024.

“Begitu juga dengan capaian perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) yang telah dapat diperluaskan kepada 13,140 orang klien,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya