PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan akan membelanjakan sebanyak RM12 bilion bagi tujuan perolehan aset dan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini.
Jumlah itu hampir separuh daripada keseluruhan peruntukan yang diterima kementerian dalam Belanjawan 2025 iaitu sebanyak RM21.2 bilion.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perolehan aset itu dibuat sebagai langkah memperkasakan kekuatan dengan meliputi ketiga-tiga perkhidmatan ATM.
“Antara perolehan aset yang diluluskan termasuk meriam 105 Pack Howitzer untuk Tentera Darat; peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) untuk Kapal Diraja (KD) Jebat dan tiga unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System’ (MALE UAS),” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini sudah mencapai 48 peratus.
Katanya, berdasarkan jadual perolehan, dua pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada Oktober 2026 manakala selebihnya akan diterima secara berperingkat hingga penghujung 2027.
“Kita juga akan memastikan perkembangan dan kemajuan pembinaan aset-aset penting lain mencapai kemajuan yang dijadualkan.
“Ini termasuk proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disasarkan mencapai 96.52 peratus siap. Untuk LCS2, LCS3, LCS4 dan LCS5, masing-masing dijangka mencapai 86.61 peratus, 76.60 peratus 65.05 peratus serta 48.72 peratus kemajuan.
“LCS2 juga telah diturunkan ke air dan sedang menjalani Setting To Work (STW),” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, LCS3 pula dalam persiapan akhir untuk diturunkan ke air yang dirancang pada Januari 2026.
Menurutnya, bagi pembinaan kapal misi pesisir (LMS) batch kedua pula, kemajuan
kerja bagi ketiga-tiga kapal tersebut dijangka mencapai 13.8 peratus secara keseluruhannya pada Jun 2025.
“LMSB2-1, LMSB2-2 dan LMSB2-3 masing-masing disasarkan mencapai 17.1 peratus 13.9 peratus dan 10.4 peratus kemajuan,” katanya. – UTUSAN