SEREMBAN: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat pemborong dan peruncit didenda sebanyak RM450,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim, Mohamad Kamil Nizam terhadap Azizul Abdul Halim, 56, yang mengekalkan pengakuan bersalahnya atas tiga pertuduhan pindaan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tiga tahun lalu.
Sebelum ini, pada 11 Disember 2024 Azizul telah membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan bersama anak kepada bekas menteri yang juga pengarah syarikat sama iaitu Muhammad Faisal Hamzah, 39.
Bagaimanapun, Muhammad Faisal tidak mengaku bersalah.
Mengikut dua pertuduhan, Azizul sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak telah memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Maklumat itu diberi semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan mengemukakan dokumen atau maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung dokumen atau invois penjualan minyak masak kepada Pasar Segar Din Maju dan Warisan Hasil Alam.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5 petang di Pejabat KPDN Seremban 2 pada 12 Ogos 2022.
Sehubungan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 ( 2 ) akta sama.
Bagi satu lagi pertuduhan, tertuduh selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 metrik tan.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.15 malam, 11 Ogos 2022 di premis perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang di sini..
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu peguam, Hasnan Hamzah berkata, Orang Kena Saman (OKS) mempunyai dua isteri dan 10 anak serta enam daripadanya masih bersekolah.
“OKS tidak lagi bekerja, hanya kerja sambilan. Dia juga telah menyesal akan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
“Jika dilihat, Azizul pada masa ini adalah rakan kongsi dan telah pun keluar daripada syarikat dengan menjual semua sahamnya. Dalam kes ini tertuduh hanyalah pemegang saham minoriti saja,” katanya.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Alimah Mohd. Sanusi memohon mahkamah mengenakan hukuman tinggi iaitu tidak kurang daripada RM200,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Impak perbuatan tertuduh telah berlaku ketirisan subsidi dan dana diperuntukkan untuk subsidi itu telah disalah guna yang menyebabkan kerajaan alami kerugian besar.
“Penyelewengan minyak masak subsidi semakin meningkat dari hari ke hari dan kesan langsung dari penyelewengan menyebabkan rakyat tidak berpeluang membeli minyak subsidi pada kuantiti sepatutnya,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM150,000 dan jika gagal bayar enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan. – UTUSAN