KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai pemasaran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, Mei tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu setelah tertuduh, Suhaini Sarwan, 46, mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dijalankan secara serentak dari tarikh tertuduh ditahan iaitu pada 30 Mei 2024.
Mengikut pertuduhan pertama, Suhaini didapati memiliki artikel Daesh dan perbuatan pengganas itu dalam komputer riba jenama Lenovo Thinkpad pada pukul 2.20 petang, 30 Mei tahun lalu di sebuah premis di Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, Johor.
Pada masa dan tarikh sama, tertuduh telah memiliki item berkaitan Daesh dan perbuatan pengganas itu di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, Johor.
Kedua-dua kesalahan itu dikemukakan di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen 130JB(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi daripada kepentingan peribadi.
“Merujuk kepada fakta kes, hasil laporan pakar mendapati pemilik kepada item-item ini mempunyai kecenderungan yang boleh mengancam keselamatan negara selain menggalakkan penggunaan kekerasan terhadap perjuangan yang disokong,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, Sazlinidayu Kamarul Baharin yang mewakili Suhaini memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan terhadap anak guamnya memandangkan pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Tertuduh merupakan penanggung utama keluarga, mempunyai dua orang anak yang berusia 14 dan 18 tahun. Dalam kes ini dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya lagi,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pengadu dari Bahagian E8, Cawangan Khas Bukit Aman, telah menerima maklumat sekitar pukul 5.50 petang, pada pukul 27 Mei 2024 berhubung seorang penama bernama Suhaini Sarwan yang disyaki memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Islamic States (IS). – UTUSAN