KUALA LUMPUR: Bekas pegawai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah AS$300,000 daripada sebuah syarikat pembekal baja Singapura, tiga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Nordin Ibrohim, 77, didakwa menerima wang berjumlah AS$300,000 daripada Pengarah Syarikat Sung Chang Asia Pte. Ltd., Kim Jong Kwa sebagai upah membantu syarikat itu dilantik sebagai pembekal baja kepada pesawah oleh Nafas.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di antara antara 16 November dan 21 Disember 2022 di sebuah bank di Plaza Mont Kiara di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana jumlah yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Abdul Muntaqim Abdul Aziz mencadangkan jaminan di antara RM200,000 hingga RM300,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Pendakwaan turut memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan seperti tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
“Kesalahan ini bukan kesalahan biasa kerana ia melibatkan dana kerajaan. Apabila berlaku rasuah, peluang pekerjaan dan pelaburan akan terjejas dan prosedur menjalankan perniagaan akan sukar,” kata Abdul Muntaqim.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Zamri Idrus yang mewakili Nordin memohon anak guamnya dikenakan jumlah ikat jamin yang rendah atas alasan tertuduh merupakan pesara dan menanggung keluarga selain menghidap penyakit diabetes.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan turut mengenakan syarat tambahan sebagaimana dimohon oleh pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Februari ini. – UTUSAN