KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang bekas majistret yang disabitkan bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Radzi Harun menolak rayuan yang difailkan Mohamad Amin Shahul Hamid, 43, dan mengekalkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen pada 18 Mac tiga tahun lalu.
Hakim turut mengarahkan Mohamad Amin menjalani semua hukuman penjara secara serentak iaitu 12 tahun dan membayar denda RM1.05 juta bermula hari ini yang mana jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman penjara tambahan selama 72 bulan.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam R Arvend da Arvind Santhanam memohon penangguhan pelaksanaan kedua-dua hukuman tersebut berikutan Mohamad Amin memohon untuk membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ezuain Farhana Ahmad tidak membantah permohonan peguam tertuduh namun meminta mahkamah untuk menaikkan jaminan asal daripada RM50,000 kepada RM100,000.
Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda ke atas tertuduh sehingga kes selesai di Mahkamah Rayuan dengan mengenakan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin.
Terdahulu, Mohamad Amin yang pernah berkhidmat sebagai majistret di Raub dan Lipis didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis serta Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup semasa kes itu didengar di hadapan tertuduh. – UTUSAN
–