SEREMBAN: Seorang bekas kerani didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas sembilan pertuduhan menyalah guna jawatan untuk mendapatkan suapan pelbagai jenis projek bagi syarikat perniagaan miliknya dengan nilai keseluruhan RM85,550 pada 2020 hingga 2021.
Tertuduh, Arwan Asrol Mohamad, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut sembilan pertuduhan itu, Arwan Asrol sebagai pegawai badan awam iaitu pembantu eksekutif yang menjalankan tugas kerani selenggara di FGV Palm Industries Sdn. Bhd., telah menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri dengan cara menyebabkan perniagaan miliknya iaitu Sinar Mz Enterprise dipelawa sehingga dilantik untuk melaksanakan kerja.
Ia bagi menyediakan tenaga kerja, bahan, peralatan, pengangkutan, insurans dan lain-lain keperluan antaranya bagi kerja-kerja pembaikan rumah, pembersihan kawasan scrubber dan shredded, ganti dan pasang longkang serta pembersihan dan pencucian bangunan di Kilang Sawit Serting Hilir dan Loji Biogas Serting Hilir bagi FGV Palm Industries Sdn. Bhd.
Kerja-kerja itu bernilai antara RM6,500 hingga RM10,000 yang mana ia berhubung dengan penyediaan dokumen bagi pemprosesan tender yang mempunyai kepentingan dengan dirinya.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di FGV Palm Industries Sdn Bhd., Kilang Sawit Serting Hilir, Bandar Seri Jempol di Jempol pada 1 Mac 2020 hingga 11 Januari 2021.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM40,000 dengan syarat tambahan.
Peguam M.Gobi yang mewakili tertuduh kemudian memohon jaminan yang rendah dengan alasan anak guamnya telah berhenti kerja dari syarikat FGV Palm Industries Sdn. Bhd. sejak 2023 dan kini menghidap strok..
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM berdekatan sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Februari depan bagi serahan dokumen. – UTUSAN