ALOR SETAR: Seorang bekas kerani bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik sebuah masjid berjumlah RM115,900, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Abd. Rahman Hamzah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curang melakukan pecah jenayah amanah terhadap wang dalam akaun Bank Rakyat milik Masjid Kampung Paya, dengan menjadikannya sebagai harta kegunaan sendiri.
Kesalahan didakwa dilakukan antara pukul 11.39 pagi, 23 Mac 2022 hingga pukul 1.27 tengah hari, 26 Julai 2022 di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang, Padang Terap.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Negeri, Nurul Atikah Ab. Rashid mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Ilyana Syafiqa Md. Saad.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun dengan sebat serta didenda.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan agar tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukan dianggap serius selain tidak boleh dijamin jika dirujuk dalam Jadual Pertama, Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain dikenakan tiga syarat tambahan antaranya melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan hingga kes selesai, selain perlu menyerahkan pasport dan pas sempadan.
Tertuduh atau sesiapa sahaja juga dilarang mengganggu mahu pun berjumpa saksi pendakwaan dalam apa cara sekali pun. Jika ketiga-tiga syarat itu dilanggar, maka jaminan akan dibatalkan.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 16 Februari depan untuk serahan dokumen.-UTUSAN