JOHOR BAHRU: Seorang bekas jurutera kerugian mencecah RM10 juta apabila ‘termakan umpan’ akan memperoleh keuntungan tinggi dengan menyertai pelaburan mata wang kripto secara dalam talian.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 63 tahun itu tertarik menyertai pelaburan berkenaan yang menawarkan keuntungan sehingga 50 kali ganda selepas melihat iklan tentang perkara tersebut dalam media sosial, Julai lalu.
“Mangsa menekan pautan dalam iklan itu dan kemudian dimasukkan dalam sebuah kumpulan WhatsApp serta dihubungi dua individu yang memberikan penerangan tentang cara-cara pelaburan.
“Tertarik dengan pulangan dijanjikan, mangsa membuat 29 transaksi pindahan wang ke 11 akaun berbeza melibatkan nilai keseluruhan RM9,474,310 antara Oktober hingga Disember tahun lalu,” katanya di sini hari ini.
Mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati telah mendapat keuntungan berjumlah RM88 juta daripada pelaburan tersebut, namun ketika hendak mengeluarkan wang berkenaan, dia diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM800,000.
“Disebabkan itu, mangsa mula menyedari telah ditipu sindiket itu dan membuat laporan polis tentang kejadian berkenaan, semalam,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN