JOHOR BAHRU: Seorang pemuda yang bebas dari penjara pada 2022 atas kesalahan berkaitan dadah tidak serik-serik malah sekali lagi menjadi dalang sindiket pengedaran dadah sejak September tahun lalu.
Bagaimanapun, sindiket jenayah berkenaan tumpas apabila lima ahlinya termasuk dua wanita diberkas polis dalam dua serbuan pada 5 Januari lalu dan semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah termasuk 73.550 kilogram (kg) serbuk ekstasi; 20.296 kg ketamin; 2.925 kg pil eramin 5 serta lapan gram pil ekstasi bernilai keseluruhan RM13.59 juta daripada kesemua suspek berusia antara 24 hingga 29 tahun itu.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan pembungkusan dadah selain menyita tiga buah kereta, sebuah motosikal, pelbagai barangan kemas, wang tunai dan akaun syarikat bernilai RM351,675.80.
“Nilai rampasan keseluruhan dadah dan barangan sitaan adalah sebanyak RM14.2 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, ujian urin mendapati tiga suspek termasuk dalang sindiket yang berusia 29 tahun positif dadah jenis ketamin.
“Modus operandi digunakan adalah mendapatkan bekalan dadah dari luar sebelum menjadikan kondominium mewah yang disewa sebagai stor dan pusat pembungkusan semula sebelum diedar ke pasaran.
“Jika dibiarkan, dadah itu boleh digunakan seramai 357,126 penagih,” katanya yang turut memberitahu semua suspek kini direman tujuh hari hingga 11 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN