ALOR SETAR: Polis memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan insiden kebakaran rumah yang meragut dua nyawa di Tongkang Yard, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan itu susulan kebakaran sebuah rumah separa kekal yang didiami mangsa.
Katanya, identiti kedua-dua mangsa belum disahkan setakat ini sehingga ujian Asid deoksiribonukleik (DNA) selesai.
“Siasatan masih lagi dijalankan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat termasuk laporan punca kebakaran daripada Unit Forensik Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Buat masa ini, kes masih lagi diklasifikasi sebagai mati mengejut. Namun setakat ini beberapa individu dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dijangka mengadakan sidang akhbar berkaitan kes kebakaran tersebut, petang esok.
Terdahulu, bomba yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 pagi menemukan dua mayat dipercayai seorang warga emas bersama anak angkatnya yang masing-masing berusia 61 dan 23 tahun.
Difahamkan rumah itu turut didiami seorang lagi penghuni yang sempat menyelamatkan diri ketika kejadian.
Mangsa dipercayai seorang pesara kerajaan, Ibrahim Mydin dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd. Zaini yang tinggal bersama di rumah itu sejak tiga tahun lalu. – UTUSAN