SEMPORNA: Bayi lelaki berusia enam bulan antara enam mangsa maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di KM 37 Jalan Semporna-Tawau semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 petang itu, kesemua mangsa yang berusia antara enam bulan hingga 82 tahun itu maut di lokasi kejadian dan seorang meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd. Sabri Zainol berkata, kemalangan maut itu membabitkan tiga buah kenderaan jenis pacuan empat roda Isuzu Dmax, Toyota Innova dan Proton Wira.
“Berdasarkan siasatan, semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu Proton Wira iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun telah memasuki laluan bertentangan hingga mengakibatkan berlaku pelanggaran dengan kenderaan Isuzu Dmax dan seterusnya dilanggar oleh Toyota Innova.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut, pemandu Proton Wira cedera parah manakala, lima penumpang maut di lokasi kejadian dan seorang meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Semporna,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd. Sabri berkata, semasa kemalangan Proton Wira itu sedang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna manakala, kenderaan Isuzu Dmax dan Toyota Innova dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan mana-mana individu yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna iaitu Inspektor A. Hemkkumar di talian 012-3650021 dan Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati serta bertimbang rasa semasa berada di atas jalan raya. – UTUSAN