KLUANG: Batalion Lima Pasukan Gerakan Am di Simpang Renggam dekat sini berjaya merampas barangan seludup berjumlah RM23,344,561.21 dan 262 suspek melalui Ops Taring Nyah 1 yang dilaksanakan sepanjang 2024.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, Ops Nyah 1 telah dijalankan sepanjang pantai barat Semenanjung bermula dari Selangor hingga ke Johor.
Katanya, fokus utama penugasan adalah bagi mengawal persisiran pantai daripada ancaman penyeludupan, pendatang asing tanpa izin (PATI), kontraban dan jenayah rentas sempadan.
“Beberapa tangkapan dan rampasan telah berjaya dilakukan sepanjang tahun lalu dan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengekang jenayah terancang, penyeludupan dan aktiviti haram yang meresahkan masyarakat.
“Seramai 262 orang suspek telah ditahan dengan pecahan jantina iaitu lelaki dewasa seramai 240 orang manakala wanita dewasa 22 orang atas pelbagai kesalahan dan 80 kes penyeludupan dengan nilai rampasan keseluruhan RM23,344,561.21,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Hakemal lagi, kejayaan terbesar dalam operasi ini adalah tangkapan dan rampasan di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan yang melibatkan rokok seludup atau lari cukai dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 2,559,500.
Ujarnya, satu lagi kejayaan besar yang juga melibatkan Akta Kastam 1967 adalah di Setia Indah, Johor dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1,657,716.
“Untuk sepanjang bulan Januari tahun ini sahaja sudah ada tiga tangkapan dan rampasan melibatkan Akta Atipsom 2007 dan Akta 582 Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya. – UTUSAN