KEMAMAN : Seorang bapa maut manakala dua anak lelakinya cedera selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 258.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Perasing, di sini, hari ini..
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Hajis Ismail, 70, yang berasal dari Kampung Kubang Panjang, Kuala Terengganu, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi yang dipandu anak mangsa, Ahmad Zulhilmi, 26, dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan, Pahang hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan di kiri lebuh raya.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan bapa mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Ahmad Zulhilmi pula mengalami kecederaan di kepala dan tangan manakala abangnya, Nor Nizzam, 41, cedera di kepala dan leher,” katanya hari ini. – UTUSAN