TAMPIN: Seorang pemandu lori balak maut manakala anaknya cedera selepas kenderaan yang dipandunya melanggar lori membawa muatan pasir di Kilometer 37, Jalan Tampin – Gemas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Marzuki Bhainuddin, 62, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, nahas berlaku kira-kira pukul 6 pagi itu dan mangsa, Marzuki Bhainuddin, 62, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan lori jenis Man dengan muatan pasir dengan sebuah lori jenis Volvo dengan muatan kayu balak. Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa lori jenis Man yang dipandu oleh seorang lelaki dengan membawa muatan pasir dari arah Jelai mahu ke Melaka.
“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu lori itu telah memberhentikan lori di persimpangan dan mahu membelok ke kanan untuk masuk ke jalan utama. Semasa sedang membelok, tiba tiba datang sebuah lori jenis Volvo muatan kayu balak yang dipandu oleh seorang lelaki bersama kelindan yang juga anaknya dari sebelah kanan jalan utama melanggar bahagian kanan lori pasir itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, akibat kemalangan, pemandu lori muatan balak telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kelindan berusia 28 tahun mengalami kecederaan luka ringan di kaki sebelah kanan.
Menurutnya, pemandu lori muatan pasir bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat pemandu lori telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Susulan kejadian berkenaan, sepasukan 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemas dan BBP Gemencheh dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit kira-kira sejam di tempat duduk pemandu.-UTUSAN