Banyak sindiket cuba elak saman - Anthony Loke

Banyak sindiket cuba elak saman – Anthony Loke

ANTHONY semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Teater LogTech dan TalentBridge di Universiti Malaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengakui kewujudan pelbagai sindiket yang cuba mencari ruang bagi mengelak daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan undang-undang khususnya di jalan raya. 

Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dan risikan awal terlebih dahulu untuk mendapatkan bukti kukuh kerana ia melibatkan integiiti pasukan penguat kuasa sendiri sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau pada masa sama mengakui isu-isu seumpama itu menjadi cabaran besar dalam penguatkuasaan dalam menangani kes kesalahan jalan raya khususnya melibatkan kenderaan berat.

“Memang kita tahu bahawa ada pihak-pihak sindiket-sindiket ini, dia cuba mencari ruang bagaimana untuk mengelak daripada unsur-unsur penguasaan kita.

“Kalau ada isu-isu seperti ini yang memang kita tahu bahawa dia perlu dicegah, maklumat-maklumat seperti ini akan kita terus dipantau.

“Memang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pun ada unit perisikan dan memang kita akan sentiasa membuat perisikan seterusnya bekerjasama dengan SPRM,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Teater LogTech dan TalentBridge di Universiti Malaya, hari ini.

 Semalam, akhbar ini mendedahkan kegiatan sindiket penjualan pelekat khas yang diguna pakai kebanyakan pemilik atau pemandu kenderaan berat bertujuan ‘melindungi’ mereka ketika melepasi pemeriksaan atau sekatan jalan raya pihak berkuasa.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat beberapa pemandu lori memperoleh pelekat khas itu daripada sindiket bagi mengelak dikenakan kompaun atau tindakan saman.

Pengusaha-pengusaha lori itu terlebih dahulu akan membeli pelekat khas yang memaparkan kod dan bentuk tertentu daripada sindiket dengan harga serendah RM1,000 untuk setiap lori dan kemudian ditampal pada bahagian depan atau belakang kenderaan untuk memudahkan dikenali.

Mengulas lanjut, Loke berkata, MOT sedang memperkenalkan penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.  

Katanya, kementerian bakal memperkenalkan sistem baharu yang akan memudahkan penguatkuasaan ke atas kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan iaitu Sistem ‘High Speed – Weigh in Motion’ (HS-WIM).

“Melalui teknologi ini, tiada lagi keperluan untuk membawa kenderaan ke stesen penimbang kerana pengesanan boleh dilakukan terus di lokasi.  

“Hal ini selaras dengan dasar diamalkan kementerian iaitu sifar toleransi dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba melanggar undang-undang khusunya soal integriti,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya