Banyak faktor halang penyertaan wanita dalam sektor tenaga - Nurul Izzah

Banyak faktor halang penyertaan wanita dalam sektor tenaga – Nurul Izzah

NURUL Izzah Anwar bergambar bersama tetamu selepas hadir pada Majlis Women In Energy di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Halangan sistemik, bias budaya, struktur gaji tidak sama rata dan dasar tidak inklusif dilihat terus menghalang penyertaan wanita secara menyeluruh dalam sektor tenaga di negara ini.

Pengerusi Yayasah Seri, Nurul Izzah Anwar berkata, ia juga mencerminkan ketidakseimbangan walaupun golongan wanita mendominasi graduan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di peringkat universiti.

Beliau berkata, ketika ini, wanita merangkumi 53.2 peratus daripada graduan STEM di Malaysia namun, hanya mewakili 20 peratus tenaga kerja dalam sektor tenaga.

“Jurang gaji juga masih berlaku dan banyak jawatan kepimpinan masih sukar dicapai. Syukurlah, kadar penyertaan STEM mencapai 50.83 peratus pada tahun 2024, meningkat daripada 41.84 peratus pada tahun 2019.

“Namun, kita memerlukan lebih banyak usaha untuk mencapai sasaran 60,000 jurutera mahir Malaysia seperti yang ditetapkan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS),” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Women In Energy di sini, hari ini.

Katanya, pastinya bakat adalah bukan halangan utama bagi wanita menceburi sektor tenaga sebaliknya kerajaan perlu menagani ketidaksamaan yang wujud itu secara mampan.

Nurul Izzah berkata, Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diperkenalkan kerajaan amat penting namun, kebimbangan mengenai pembiayaan dan keberkesanan kawasan penyerap karbon harus menjadi keutamaan dalam usaha memastikan masa depan Malaysia terjamin.

“Kita mesti memastikan bahawa masa depan dibentuk mengikut keperluan dan kepentingan negara, di peringkat nasional dan serantau.

“Walaupun kita mengutamakan pelepasan sifar bersih, kita perlu sedar akan perubahan iklim dan keperluan pembiayaan yang mencukupi untuk mekanisme adaptasi bagi melindungi industri, aset, dan perniagaan di semua peringkat.

“Negara seperti India, Brazil, dan Colombia telah menyuarakan rasa tidak puas hati, mencerminkan sentimen global mengenai komitmen kewangan yang tidak mencukupi untuk menangani krisis iklim yang sedang berlaku,” katanya.

Katanya, peralihan tenaga mesti melangkaui proses dekarbonisasi dan kemajuan teknologi selain menumpukan kepada keadilan sosial, memastikan peluang tersedia kepada semua, tanpa mengira jantina, latar belakang, atau keadaan.

Jelasnya lagi, program seperti MyWiE (Women In Energy) dan PETRONAS Leading Women Network telah membuktikan bahawa struktur sokongan yang terancang boleh mencetuskan perubahan positif secara meluas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya