KUALA LUMPUR: Ibu bapa meluahkan rasa lega apabila kerajaan menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada semua murid sekolah di negara ini yang sekali gus mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi mereka.
Pekerja awam, Siti Sumita Mamat, 50, berkata, BAP amat membantunya untuk mengurangkan beban kos persiapan persekolahan empat anaknya.
“Dengan bantuan yang ada ini saya dapat beli keperluan sekolah anak-anak seperti kasut serta set baju sekolah mereka.
“Bantuan ini boleh dikatakan cukup dan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh saya dengan anak yang ramai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, di sini.
Terdahulu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid.
Pengagihan BAP itu akan dilakukan bermula hari ini pada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025, manakala murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari.
Bagi murid Tingkatan 6 baharu pula pengagihan BAP akan dilaksanakan mulai 1 Julai ini.
Sependapat dengan itu, Surhaeri Abu Salim, 40, berkata, bantuan dari kerajaan itu dapat membantunya membeli barangan dan kelengkapan persekolahan anaknya seperti beg dan kasut sekolah.
“Bantuan ini amat bermakna kerana perbelanjaan untuk sekolah semakin mahal. Saya bersyukur kerajaan memahami keperluan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Nurul Huda Nadia Mohamed, 39, berkata, dia amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan sambil menyifatkan bantuan itu membantu segenap lapisan masyarakat.
“Saya nak ucap terima kasih kepada kerajaan terutama Kementerian Pendidikan atas pemberian bantuan ini yang sangat membantu masyarakat tidak mengira lapisan masyarakat:
“Saya harap bantuan ini dapat diteruskan kepada murid prasekolah dan tadika,” ujarnya. – UTUSAN