PUTRAJAYA: Bantuan kewangan dan derma politik adalah perkara sama.
Itu jawapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditanya mengenai `derma Arab’ yang dikatakan diterima daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, pada Januari 2010.
Dengan merujuk kepada penyataan saksi Ahli Parlimen Pekan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar menyatakan, pada pertemuan tersebut di Arab Saudi, Najib menyatakan bahawa beliau dimaklumkan oleh Raja Abdullah bahawa akan memberi bantuan kewangan (supporting financially).
Kamal Baharin: Tetapi dalam penyata saksi tadi Datuk Seri kata, wang adalah `bantuan kewangan’. Penyata saksi yang ini Datuk Seri katakan, `derma politik’.
Najib: Maksudnya hampir sama.
Kamal Baharin: Kemudian Datuk Seri nyatakan `saya difahamkan ia adalah bantuan kewangan’. Kenapa perlu `difahamkan’? Saya katakan, itu sebenarnya pemahaman Datuk Seri dan bukannya dinyatakan (oleh Raja Abdullah berhubung bantuan kewangan) kepada Datuk Seri.
Najib: Saya tidak bersetuju.
Kamal Baharin kemudian merujuk kepada empat keping surat berkait `derma Arab’ tersebut yang dihantar Putera Saud Abdul Aziz Al-Saud.
Kamal Baharin: Kesemua surat ini dialamatkan ke rumah kediaman Datuk Seri. Macam mana Putera As Saud boleh tahu alamat rumah Datuk Seri?
Najib: Saya tidak tahu. (Tapi) semua orang tahu (alamat rumah).
Kamal Baharin: Saya tidak tahu. Macam mana boleh tahu, ada di mana-mana laman sesawang ke?
Najib: Kalau ikhtiar, pasti jumpa.
Terdahulu, keadaan sedikit tegang apabila Najib dilihat tidak memberikan jawapan terus apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib sama ada terdapat perkataan ‘1MDB’ ada tertulis dalam kertas pertuduhan atau tidak.
Ahmad Akram: Bagi pertuduhan pertama hingga keempat (pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan), terdapat perkataan `1MDB’ dalam setiap pertuduhan.
Najib: Ya tapi konteks yang berlainan
Ahmad Akram: Datuk Seri, kita belum masuk konteks lagi. Saya tanya secara harfiah, ada atau tidak perkataan ‘1MDB’ dalam pertuduhan.
Najib: Tapi konteks lain, ayat tak kemas..
Ahmad Akram: Datuk Seri, konteks pertuduhan ada soalan lain tapi sekarang, secara jelasnya, secara harfiah, ada atau tidak perkataan 1MDB. Ini bukan soalan perangkap, ini direct question, ada atau tidak perkataan 1MDB, ya atau tidak?
Najib: Saya tidak faham apa yang awak ingin nyatakan..
Ahmad Akram: Setuju atau tidak, perkataan 1MDB wujud, hadir, tertulis secara jelas, secara harfiah, ada dalam pertuduhan..
Keadaan `pi mai pi mai, tang tu’ itu berterusan sehingga Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah terpaksa mencelah.
Hakim Sequerah: Kenapa susah sangat untuk bersetuju tentang perkataan itu. Perkataan memang ada di situ, dia (Ahmad Akram) bukannya menyentuh mengenai konteks.
Muhammad Shafee: Beliau (Najib) dah jawab soalan, beliau kata ada tetapi bukan dalam konteks yang dia maksudkan.
Hakim Sequerah: Kalau begitu, pendakwaan awak terima jawapan `ya’ tersebut.
Ahmad Akram: Baik, kami terima.
Selain itu, Ahmad Akram menyatakan, dakwaan bahawa Najib tidak faham mengenai pertuduhan kerana pertuduhan-pertuduhan itu tidak jelas, hanya ditimbulkan sewaktu saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan SPRM Nur Aida Arifin memberi keterangan.
Pendakwa itu juga menyatakan bahawa, daripada beliau dipertuduhkan buat kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sehingga pertuduhan dibacakan semua di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas ia dipindahkan, Najib tidak pernah membangkitkan isu `tidak faham pertuduhan’.
Ahmad Akram juga menyatakan, Najib tidak pernah menimbulkan isu bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan mana-mana saksi daripada 1MDB seperti Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Najib tidak bersetuju dengan kesemua cadangan itu. Perbicaraan bersambung hari ini.