Bantuan awal persekolahan ringankan beban ibu bapa

Bantuan awal persekolahan ringankan beban ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diteruskan, dengan hampir RM800 juta diperuntukkan kepada 5.2 juta murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa mengira pendapatan ibu bapa.

Inisiatif tersebut kemudiannya diperluaskan pula buat julung kalinya kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026 yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dengan implikasi kewangan kira-kira RM15 juta.

Penyediaan peruntukan BAP termasuk tambahan kepada pelajar Tingkatan Enam menzahirkan komitmen dan iltizam kerajaan Madani yang mahu membantu meringankan beban kos sara hidup ibu bapa.

Hal ini dilihat sangat signifikan pada tahun ini kerana sesi persekolahan dan sambutan bulan puasa serta Hari Raya Aidilfitri kali ini akan berlaku dalam jarak masa yang sangat dekat sekali gus mula membimbangkan anggota masyarakat tentang keperluan untuk menampung perbelanjaan persediaan ke sekolah dan sambutan musim perayaan.

Maka bantuan BAP itu cukup melegakan dan dapat meringankan beban ibu bapa kerana dengan peruntukan RM150 untuk seorang kita dapat membeli kelengkapan dan keperluan asas persekolahan seperti pakaian, kasut serta alat tulis.

Harus diingat sudah ada ura-ura akan berlaku kenaikan tambah bas sekolah serta harga makanan di kantin sekolah yang pastinya akan menambah beban kos perbelanjaan harian ibu bapa khususnya yang memiliki bilangan anak yang ramai.

Justeru amat sukar untuk membayangkan beban kewangan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa yang memiliki jumlah anak ramai mencakupi sekolah rendah dan menengah dengan masing-masing memerlukan kos perbelanjaan yang pelbagai dan berbeza. Hakikatnya ibu bapa tiada pilihan selain mengeluarkan perbelanjaan demi memastikan anak-anak dapat bersekolah seperti biasa.

Ironinya, keadaan bertambah rumit kepada kelompok ibu bapa yang tidak mempunyai pekerjaan atau pendapatan tetap, bekerja sendiri selain tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta hidup umpama kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.

Sudah semestinya golongan ini amat bersyukur dengan bantuan kebajikan berbentuk insentif kewangan yang disediakan oleh kerajaan seperti ini. Hakikatnya tidak semua ibu bapa mampu membeli dan menyediakan segala kelengkapan sekolah yang diperlukan anak.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED Yang Dipertua PIBG SM Seri Serdang Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN