KANGAR: Membanting tulang lebih enam bulan, pendapatan tidak sampai RM2,000. Itu nasib para pesawah sekiranya harga belian padi musim ini terus menjunam sehingga mencecah harga lantai iaitu RM1,300 per tan metrik.
Pendapatan bersih tersebut berdasarkan keluasan tanaman satu hektar dengan hasil dua tan metrik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, sebelum ini, pada harga belian padi sekitar RM1,800, pesawah yang mengusahakan tanaman seluas satu hektar dan hasil dua tan metrik, mampu menjana pendapatan bersih sekitar RM2,400.
Katanya, ia berdasarkan pendapatan pesawah sekitar RM3,700 dan selepas ditolak kos RM1,300 selepas enam bulan bertungkus lumus mengusahakan sawah.
Bagaimanapun, sekiranya harga belian padi menjunam sehingga RM1,300 musim ini, pendapatan pesawah bakal susut sehingga 30 peratus daripada RM2,400 kepada RM1,900.
“Bayangkan enam bulan kerja di bawah panas matahari, hujan, mengawal serangan penyakit dan pelbagai masalah lain, pesawah hanya mendapat ‘gaji’ bawah RM2,000. Itu realiti yang terpaksa dihadapi pesawah ketika ini. Bagi yang menyewa, pendapatan lebih sedikit selepas ditolak semua kos.
“Sekarang, semua kos meningkat. Misalnya kos jentera daripada RM140 serelung meningkat kepada RM200. Dron untuk meracun dari RM20 ke RM25, kos tabur dari RM10 ke RM13 (serelung).
“Jika harga belian padi menjunam sehingga RM1,300, memang teruk nasib pesawah. Sudah lah berdepan banjir yang merosakkan tanaman baru-baru ini, kini belian padi pula terus menurun,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, harga beras sepatutnya dinaikkan dan dijual RM32 setiap 10 kilogram (kg) bagi menyamai harga lantai RM1,300 per tan metrik agar semua pihak termasuk pengilang, pemborong dan petani tidak terbeban.
Pada masa ini, harga beras tempatan masih kekal RM26 setiap 10kg yang tidak pernah disemak sejak 16 tahun lalu iaitu ketika harga belian padi ketika itu sekitar RM950 per tan metrik.
Mohd. Noor berkata, meskipun berdepan pelbagai masalah, pesawah tidak ada pilihan terpaksa terus mengusahakan tanaman kerana ia satu-satunya sumber pendapatan.
Untuk itu katanya, bagi memberi situasi menang-menang kepada semua pihak, kerajaan perlu menaikkan harga belian padi kepada RM1,800 atau RM2,000 dan menyemak harga beras daripada RM26 kepada RM36 atau RM40 bagi 10kg.
“Industri padi sekarang berada pada titik terendah dengan pelbagai isu kebelakangan ini. Kos meningkat, harga belian padi menurun, beras tiada di pasaran.
“Keadaan 10 tahun lalu adalah lebih baik, kita tidak dengar sangat masalah seperti yang berlaku sekarang,” katanya.
Kata Mohd. Noor lagi, melihat kepada situasi sekarang adalah mustahil untuk kerajaan melaksanakan tanaman padi lima kali dua tahun bagi meningkatkan hasil beras negara.
“Selesai dahulu masalah yang ada, baru fikir nak laksanakan tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun selepas ini. Banyak lagi masalah tidak selesai termasuk infrastruktur,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Zaidi Nasir,38, berkata, pada masa ini, semua kos mahal termasuk upah traktor, racun, mesin padi sedangkan hasil tidak seberapa.
“Kebanyakkan pesawah golongan susah dan kami berharap harga belian padi dilihat semula. Harga belian RM1,300 memberi kesan kepada kami,” katanya. – UTUSAN