BAGAN DATUK: Pengusaha bas sekolah berlesen di daerah ini meminta pihak berkenaan bertindak terhadap kegiatan bas dan van sekolah haram yang semakin berleluasa.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Hilir Perak, P. Selvarajo berkata, kegiatan itu menjejaskan pemilik bas sekolah berlesen kerana mereka mengenakan tambang yang lebih murah.
Menurutnya, ini menyebabkan pendapatan pengusaha bas sekolah berlesen terjejas ketika mereka berdepan dengan kenaikan harga minyak, penyelenggaraan kenderaan dan alat ganti yang semakin meningkat.
“Pendapatan kami sebagai pengusaha bas dan van sekolah yang berlesen memang terjejas kerana mereka mengenakan kadar tambang yang rendah berbanding kadar yang kami kenakan.
“Mereka mungkin kenakan tambang antara RM50 hingga RM60 sebulan bagi setiap pelajar, jadi ramai yang akan memilih menggunakan perkhidmatan mereka.
“Kalau keadaan ini berterusan, sudah tentu pendapatan kami terjejas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, kegiatan bas dan van sekolah haram ini juga merisikokan keselamatan pelajar yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Justeru, beliau mahu pihak berkuasa dapat melakukan tindakan penguatkuasaan secara tegas dalam membanteras kegiatan itu.
“Kegiatan bas dan van sekolah haram ini amat mengganggu operasi kami yang berdaftar, mereka juga semakin berani dan berleluasa.
“Perkara ini sudah banyak kali diadukan kepada pihak yang berkenaan dan kami mengharapkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan untuk mengawal kegiatan mereka,” katanya. – UTUSAN