PETALING JAYA: Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk susulan lebih 8,000 orang dipindahkan.
Ini membimbangkan apabila keadaan tersebut meningkat sekali ganda daripada mangsa yang direkodkan semalam sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat mendadak setakat 3 petang ini dengan seramai 5,106 orang daripada 1,416 keluarga dipindahkan ke 42 PPS yang dibuka.
Antara kawasan terlibat adalah Kuching (Kuching dan Bau), Samarahan (Samarahan, Sebuyau dan Simunjan), Serian (Serian dan Siburan), Sibu (Kanowit dan Selangau), Bintulu (Bintulu dan Tatau) dan Miri (Miri dan Subis).
Daerah Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,632 orang daripada 492 keluarga ditempatkan di 18 PPS. Bintulu pula mencatatkan seramai 1,260 mangsa daripada 328 keluarga yang berlindung di tiga PPS.
Bagi Sabah, jumlah terkini mangsa yang terjejas adalah 3,550 daripada 1,232 keluarga yang dipindahkan ke 25 PPS terdekat.
Daerah yang terbabit banjir adalah Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.
Daerah Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, dengan 2,360 orang daripada 866 keluarga ditempatkan di lapan PPS. Telupid pula mencatatkan seramai 203 mangsa daripada 48 keluarga yang berlindung di dua PPS. – UTUSAN