KINABATANGAN: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menyelamatkan empat sekeluarga yang berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terperangkap dalam banjir di Jalan Kampung Paris 2, di sini, tengah malam tadi.
Dalam keadaan hujan lebat dan arus deras, mereka terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum berjaya diselamatkan sebelum paras air meningkat.
Ketua BBP Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, semua mangsa iaitu suami isteri dan dua anak perempuannya berjaya diselamatkan setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.56 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.
“Kereta Toyota Hilux yang dipandu mangsa terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras. Semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.15 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN