KLUANG: Sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Kluang selepas hujan berpanjangan bermula Jumaat sehingga menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke beberapa perkampungan.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah ( JPBD ) Kluang dalam kenyataannya berkata, lima PPS itu ialah Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Tengah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Haji Manan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang, Sekolah Kebangsaan Sri Kencana dan Dewan Serbaguna Kahang dengan jumlah keseluruhan seramai 449 mangsa daripada 174 keluarga.
Setakat pukul 8 pagi tadi, PPS di SRA Kampung Tengah menempatkan 49 mangsa daripada 13 keluarga di Kampung Tengah dan Palembang Baru; SJKT Jalan Haji Manan 189 mangsa daripada 56 keluarga dari Kampung Palembang Baru dan Palembang Lama.
PPS di SJKC Kahang menempatkan 60 mangsa daripada 18 keluarga dan Dewan Serbaguna Kahang 102 mangsa daripada 32 keluarga yang kedua-duanya dari penduduk di Kampung Contoh Kahang.
Di Simpang Renggam, setakat ini hanya satu PPS dibuka iaitu di SK Sri Kencana yang menempatkan 13 keluarga terdiri daripada 55 mangsa dari Kampung Parit Jepun, Batu Enam dan Sungai Rambai. – UTUSAN