PETALING JAYA: Situasi banjir di Bintulu, Sarawak memburuk apabila daerah itu umpama pulau apabila banyak kawasan ditenggelami air akibat hujan sejak beberapa hari lalu.
Menurut hantaran Facebook Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, kawasan sekitar Gem Park dan Sekolah Kebangsaan Assyakirin Bintulu dinaiki air.
Dalam pada itu, Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 2,174 mangsa membabitkan 590 keluarga terjejas manakala 30 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir telah dibuka.
Hujan lebat berterusan sejak kelmarin yang bertembung dengan air pasang besar mencetus banjir terburuk melanda Bintulu, hari ini.
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, sebahagian besar Bintulu dinaiki air akibat hujan berterusan itu.
Antara kawasan teruk terjejas ialah Kampung Kemunting, Bandar Jaya Jalan Alamanda, Gem Park, Taman Bukit Orang, Taman Jason,Pine Court dan San San Garden. – UTUSAN