KUALA TERENGGANU: Sebanyak 24 koperasi di seluruh negeri ini terjejas akibat banjir yang berlaku tahun lalu dengan nilai kerugian dianggarkan RM400,000.
Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Mohd. Solehin Ramli berkata, kesemua koperasi itu telah membuat laporan kerugian secara terperinci untuk mendapat bantuan kewangan dari SKM.
Katanya, SKM mempunyai dua bentuk bantuan iaitu Program Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) dan Co-Operative Emergency Relief Fund (CERF) untuk jumlah kerugian yang agak kecil.
“Dari 24 koperasi tersebut, tiga koperasi telah mendapat kelulusan TBKK dengan jumlah RM59,000 iaitu Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun Terengganu Berhad (RM30,000), Koperasi Bahagia Bersama Terengganu Berhad (RM24,000) dan Koperasi Sekolah Menengah Imtiaz Dungun Berhad (RM5,000).
“Bantuan ini digunakan tiga koperasi itu untuk membiayai kos baik pulih rumah tamu serta pembelian perabot yang rosak, kos baik bumbung tapak parkir dan baik pulih sangkar ikan yang rosak akibat banjir,” katanya selepas mengadakan majlis temu mesra SKM bersama media di sini, semalam.
Katanya, bagi bantuan di bawah program CERF pula, terdapat 14 koperasi yang diberi kelulusan dengan peruntukan sebanyak RM35,000.
“Kebanyakan koperasi ini terlibat dengan aktiviti pertanian seperti jagung, terung, ubi keledek dan timun, kedai runcit, serta ternakan ikan. SKM berharap bantuan yang diberi dapat dimanfaatkan untuk membangunkan semula perniagaan koperasi yang terjejas akibat banjir tahun lalu,” katanya. – UTUSAN