Bangunan warisan dibiar terbengkalai

Bangunan warisan dibiar terbengkalai

BANGUNAN Mahkamah Perusahaan berstatus warisan di tengah bandaraya Kuala Lumpur, dibiarkan terbengkalai. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bangunan Mahkamah Perusahaan yang berstatus warisan di tengah bandaraya Kuala Lumpur, dibiarkan terbengkalai dengan bau meloyakan, rosak dan mencacatkan pemandangan indah ibu kota.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, bangunan tersebut juga tidak terjaga, mempunyai kesan pecah masuk oleh gelandangan, serta menjadi sarang kepada penagih dadah.

Meninjau di dalam kawasan mahkamah tersebut, banyak bumbung yang tercabut, runtuh dan cat di dinding pada bahagian luar bangunan tertanggal serta berlumut.

Selain itu, lebih daripada tiga bangunan kedai di sekitar Pasar Seni yang mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai sebagai pusat komuniti, atau pusat latihan juga terbengkalai dan menjadi tempat gelandangan tidur pada waktu malam.

Kebanyakan pelancong yang melalui kawasan bangunan Mahkamah Perusahaan dan sekitar Pasar Seni turut terkejut dan kecewa melihat keadaan bangunan warisan yang terbiar itu.

Seorang pelancong dari Pulau Pinang, Nur Amira Mohd. Hedzer, berkata, dia tidak menyangka bandaraya Kuala Lumpur masih wujud bangunan yang terbiar

“Saya datang ke Kuala Lumpur untuk melihat seni bina dan budaya tempatan, tetapi keadaan ini amat mengecewakan. Bangunan ini berpotensi besar jika dipulihkan,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan oleh pelancong dari Sarawak, Moggie Angi, yang datang untuk bersiar-siar di Semenanjung.

“Malaysia terkenal dengan keindahan budayanya, tetapi kawasan seperti ini tidak memberi gambaran yang baik kepada pelancong,” katanya.

Mengulas mengenai situasi itu, Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim berkata, di bawah Akta Warisan Kebangsaan, pihak kerajaan wajib menyediakan peruntukan tahunan bagi pemuliharaan bangunan warisan yang melebihi 50 tahun.

“Bangunan seperti Mahkamah Perusahaan itu tergolong dibawah Akta tersebut, jadi saya mengesyorkan kerajaan kini, untuk cakna dengan situasi itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata beliau, bagi mengatasi isu bangunan warisan yang terbengkalai itu, pihak kerajaan juga perlu membawa perkara ini ke peringkat Kabinet untuk mewajibkan peruntukan itu dilakukan.

Katanya, keadaan bangunan warisan yang terbengkalai bukan sahaja mengecewakan pelancong, malah mencerminkan kurangnya penjagaan terhadap aset sejarah negara.

“Oleh itu langkah segera perlu dilakukan bagi melindungi ‘sejarah negara’ ini daripada pupus dan rosak tanpa sebarang nilai kesenian yang dapat dinikmati generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya