JERANTUT: Walaupun lima kali tanaman nanas jenis MD2 diusahakannya dimusnahkan gajah, semangat tidak berputus asa seorang warga emas dari Taman Pertanian Lembah Gelanggi, Pulau Tawar, dekat sini membolehkannya bangkit dengan memperoleh pendapatan berbaloi.
Zainul Ismail, 67, berkata, dia bersyukur kerana 100,000 pokok nanas MD2 yang diusahakannya di kawasan seluas kira-kira tiga hektar kini mengeluarkan hasil secara berperingkat sejak ditanam 14 bulan lalu.
“Tanaman ini dimusnahkan gajah lima kali sejak 2022, namun saya tidak serik menanam semula dengan membina pagar elektrik dan menggali parit sebagai usaha mengekang ancamannya.
“Usaha tanaman ini bermula 2022 apabila saya menerima bantuan sebanyak 17,000 benih nanas MD2 daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan berterusan sehingga ini,” katanya semalam.
Menurut Zainul, pada peringkat awal tanaman dimusnahkan gajah liar, dia menanggung kerugian hampir RM50,000 untuk pengurusan ladang seperti membersihkan dan membajak tapak, menyediakan peralatan pertanian dan upah buruh.
“Walaupun kerap diancam gajah liar, bukan semua pokok nanas yang rosak, malahan kira-kira 10,000 pokok ini berbuah mengeluarkan hasil pertama pada hujung 2022 dengan memperoleh jualan kira-kira RM40,000.
“Benih yang asal daripada bantuan LPNM, saya semai semula untuk projek tanaman seterusnya. Pada hujung 2023 sebanyak 100,000 pokok dijaga dengan rapi sudah mula mengeluarkan hasil awal bulan ini,” katanya.
Dia menyasarkan pendapatan antara RM60,000 hingga RM80,000 hasil yang dituai dalam tempoh tiga bulan ini dan sudah mencongak tanaman baharu nanas MD2 sebanyak 250,000 benih di tapak yang sudah sedia dibersihkan terletak berdekatan. – UTUSAN