KEPALA BATAS : Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas sebanyak 169,440 kilogram (kg) baja pelbagai jenis bernilai RM508,470 dalam serbuan di sebuah kilang pemprosesan baja di Permatang Saga, Pinang Tunggal di sini.
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan dijalankan dengan kekuatan 15 anggota selepas risikan dan pemerhatian dijalankan selama seminggu.
“Hasil serbuan, didapati kilang ini beroperasi tanpa permit dan terdapat pelbagai peralatan serta kelengkapan bagi aktiviti pembungkusan dan pengedaran baja tanpa lesen.
“Seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut. Kami juga memohon bantuan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Seberang Perai Utara (SPU) untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Turut serta dalam operasi itu ialah Pengarah KPDN negeri, S. Jegan.
Antara baja yang dirampas termasuk 231 unit Baja Jumbo seberat 700kg, 60 beg baja sebatian, 91 beg baja sebatian NPK dan pelbagai mesin antaranya mesin pengisar, pengadun dan pemampat, menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan berjumlah RM541,222.
Sementara itu, Jegan berkata, pihaknya menerima serahan kes daripada pasukan Cawangan Risik Briged Utara dan berjaya melaksanakan operasi penguatkuasaan berhubung aktiviti penjualan baja secara borong tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, tindakan penyitaan juga dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.
“Warga emas yang ditahan turut mengaku telah menjalankan perniagaan itu sejak lima tahun lalu Dia tahu dia perlu ada lesen memandangkan baja termasuk dalam barang kawalan dan lesen diperlukan untuk jadi pemborong serta pengilang,” ujar beliau.
Tambahnya, kes itu kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974. – UTUSAN