PONTIAN: Penduduk Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim (TDHFS) dan Kampung Parit Makuasang, Benut, dekat sini bimbang kawasan tersebut mungkin terputus huhungan kerana jalan masuk utama ke perkampungan tersebut ditakungi air.
Mereka mendakwa, aliran air dari Sungai Benut yang melalui jalan tersebut menyebabkan berlaku runtuhan kecil semasa fenomena air pasang besar, baru-baru ini.
Seorang penduduk, Md. Azhar Tahir, 43, berkata, runtuhan kecil tersebut perlu diperbaiki segera bagi mengelak ia menjadi lebih besar apabila kerap kali dinaiki air.
Katanya, laluan berkenaan merupakan jalan utama bagi penduduk TDHFS keluar ke bandar Benut untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan membeli barangan keperluan harian.
“Begitu juga dengan penduduk Kampung Parit Makuasang yang berhampiran dengan taman ini juga menggunakan laluan itu untuk keluar setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Md. Azhar mendakwa, jalan tersebut turut dilalui kenderaan berat seperti lori yang membawa keluar hasil pertanian setiap hari ini.
Seorang lagi penduduk, Abdul Hakim Mohd. Ali, 32, meminta supaya dibina sebuah jambatan kecil atau dipasang pembetung di kawasan tersebut bagi melancarkan aliran air dari Sungai Benut tanpa menjejaskan struktur jalan yang siap dibina tiga tahun lalu.
“Tidak tahu pihak mana yang bertanggungjawab dengan jalan ini sama ada Jabatan Kerja Raya (JKR ) atau Pejabat Daerah kerana projek TDHFS dibina oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Namun, penduduk berharap masalah ini dapat diatasi segera dan aduan mengenainya telah dibuat oleh ketua kampung kepada Penghulu Mukim Benut,” katanya. – UTUSAN