KUALA LUMPUR: Pengarah Baik Punya Ah Long, Datuk Afdlin Shauki gembira apabila filem tersebut terpilih untuk ditayangkan sempena Festival Filem Rotterdam (IFFR) yang berlangsung pada 30 Januari hingga 9 Februari ini.
Kata Afdlin, pemilihan itu menunjukkan filem berkenaan berjaya menarik minat penonton di negara Barat.
“Saya difahamkan pengarah IFFR menghubungi pihak Astro untuk bertanyakan mengenai filem Malaysia yang boleh ditayangkan sempena festival itu.
“Filem Baik Punya Ah Long menerima respons positif apabila ia dihantar untuk dinilai pihak festival berkenaan.
“Alhamdulillah, mereka terima baik dan bersetuju menayangkannya. Insya-Allah, saya akan terbang ke sana sempena penayangannya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media drama bersiri Din Tiger terbitan Unifi TV, baru-baru ini.
Mengulas mengenai penerimaan kurang memberangsangkan penonton tempatan terhadap filem berkenaan, kata Afdlin, perkara itu menunjukkan rakyat Malaysia kurang berminat terhadap filem muzikal.
“Saya peminat filem muzikal, pernah pentaskan Baik Punya Cilok dan Cuci di Istana Budaya.
“Saya juga pada masa yang sama faham selera penonton tempatan yang mungkin kurang berminat dengan filem muzikal.
“Tapi pada saya tak mengapalah kalau Baik Punya Ah Long tidak diterima baik. Genre muzikal ini mungkin masih baru bagi masyarakat kita dan industri filem pula sedang bereksperimentasi dengannya.
“Alhamdulillah, pemilihan Baik Punya Ah Long untuk ditayangkan sempena IFFR menunjukkan mereka terima baik filem muzikal kita. Saya bersyukur,” kongsinya.