KOTA BHARU: Kerja-kerja baik pulih benteng berhampiran rumah pam milik Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang runtuh sebelum ini diharap dapat disiapkan sepenuhnya pada April depan.
Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, pemulihan itu mampu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air pada musim kemarau sekali gus membolehkan padi di kawasan Kota Bharu dan Bachok seluas 17,000 hektar kembali ditanam mengikut jadual.
Menurutnya, ketika ini kerja-kerja reka bentuk sudah hampir siap, namun memerlukan kerjasama dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam melaksanakan proses ini.
“Dengan persetujuan JPS dan kerajaan negeri, maka kerja-kerja itu akan dimulakan. Jadi kita harap ia siap sebelum April. Ini merupakan alternatif terbaik KADA dalam menyelesaikan masalah bekalan air di musim kemarau,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanah Tahun Baharu KADA 2025 di sini semalam.
Khalid memberitahu, beliau berharap persetujuan dapat diperoleh sebelum Februari dan pelaksanaan kerja-kerja dapat dimulakan dengan kadar segara.
Sebelum ini, katanya, rumah KADA di Kemubu gagal berfungsi kerana paras air terlalu rendah akibat runtuhan tebing itu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kerajaan Kelantan memberi jaminan akan membantu KADA mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh pesawah dengan menyiapkan Sistem Pam Kemubu dan Lemal menggunakan peruntukan RM20 juta sebagaimana yang diluluskan Kerajaan Persekutuan kepada agensi pertanian itu. -UTUSAN