Bahan dalam sandwich ham diperakui halal Jakim - Pembekal

Bahan dalam sandwich ham diperakui halal Jakim – Pembekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat pembekal Shake and Bake Cafe Sdn. Bhd. mengemukakan bukti bahawa bahan-bahan dalam produk sandwich ‘ham & cheese’ yang dihasilkan syarikat itu telah diperakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, bahan utama dalam sandwich tersebut adalah roti, keju, dan kepingan daging ayam atau ham ayam.

“Pihak Shake and Bake Cafe mengesahkan kepingan daging ayam yang digunakan dalam sandwich tersebut mempunyai sijil halal yang sah daripada Jakim.

“Kami juga ingin memaklumkan pada 10 Januari lalu, pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jakim telah datang ke kilang kami untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Shake and Bake Cafe turut melampirkan salinan sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim pada 16 April 2023 untuk menyokong kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan Jakim yang menyatakan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang SPHM.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai status halal produk ‘ham and cheese sandwich’ tersebut.

Sehubungan itu, sebuah syarikat kedai serbaneka telah membekukan semua urusan perniagaan dengan Shake and Bake Cafe termasuk menghentikan pengedaran produk sandwich tersebut ke semua cawangannya.

Langkah drastik turut diambil oleh sebuah universiti di sini yang mengarahkan penutupan dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penjualan produk sandwich yang diragui status halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya