KUALA LUMPUR: Pelakon, Adriana Adnan, 29, menyokong penuh hasrat pempengaruh media sosial yang ingin menceburkan diri dalam dunia lakonan.
Adriana yang juga pengacara televisyen berkata, tiada isu bagi golongan itu untuk mencuba nasib malah mereka dialu-alukan untuk memeriahkan industri drama dan perfileman.
“Ramai pempengaruh media sosial tempatan yang berkeinginan untuk mencuba cabang seni yang lain. Ada dalam kalangan mereka yang menjadi penyanyi, pengacara dan pelakon.
“Jadi, bukan satu isu kalau ada dalam kalangan mereka yang mahu mencuba nasib walaupun mereka sekadar ‘singgah’ sekejap dalam bidang lakonan.
“Saya percaya, kalau kita tidak masuk dalam satu-satu bidang itu, kita tidak akan tahu sama ada ia sesuai atau tidak dengan kita.
“Sekiranya berpotensi, tak ada masalah pun untuk kita teruskan pembabitan dalam bidang itu,” katanya pada sidang media filem Empat, baru-baru ini.
Adriana diminta mengulas mengenai segelintir pelakon yang kurang senang dengan kehadiran golongan pempengaruh media sosial dalam bidang lakonan yang dianggap mereka ibarat melepaskan batok di tangga.
Adriana dalam masa yang sama berharap seluruh penggiat seni memberi sokongan kepada golongan pempengaruh media sosial yang berkeinginan untuk masuk ke dalam dunia lakonan.
“Ramai sahabat saya, yang merupakan pempengaruh media sosial cuba bakat dalam bidang lakonan.
“Mereka bukan sekadar masuk dalam bidang ini, malah berani mencuba dan berusaha perbaiki kebolehan lakonan mereka.
“Jadi saya harap, mereka ini diberi peluang, seperti saya, pengacara televisyen yang menjadi pelakon dan meneruskan pembabitan saya dalam bidang ini sampai sekarang,” jelasnya.