Bagaikan mimpi, pelajar MRSM rasai pengalaman naik pesawat

Bagaikan mimpi, pelajar MRSM rasai pengalaman naik pesawat

PELAJAR MRSM Kota Kinabalu merakam gambar kenangan selepas mendengar taklimat kru kabin AirAsia di KKIA baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bagaikan mimpi jadi nyata apabila sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) masuk dan duduk dalam pesawat yang selama ini hanya dapat dilihat melalui kaca televisyen.

Itu pengalaman yang dirasai oleh pelajar MRSM Kota Kinabalu itu yang kali pertama menaiki pesawat menerusi program lawatan MyAirportcares School anjuran Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dengan kerjasama AirAsia, baru-baru ini.

Bagi Aedra Christanella Janius, 17, berkata, selama ini dia hanya dapat bayangan mengenai keadaan dalam pesawat tetapi, hari ini dia berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana situasi di dalam pesawat, biarpun pesawat tersebut tidak terbang.

JEFREY Ramli (tengah) semasa sesi taklimat bersama Ketua Juruterbang AirAsia di KKIA, baru-baru ini

AEDRA CHRISTANELLA JANIUS

Malah, dia turut berpeluang mendengar sendiri perkongsian pengalaman kru kabin mengenai cabaran dan kerjaya dalam bidang penerbangan.

“Sebenarnya saya sudah bayangkan keadaan dalam kapal terbang tapi, apabila alami sendiri pengalaman berada dalam kapal, memang ia jauh lebih baik daripada jangkaan saya.

“Malah, selama ini saya fikir kerjaya kru kabin hanya memerlukan rupa paras yang cantik namun, apabila ketua pramugari berkongsi bahawa perkara yang paling penting adalah keyakinan diri, itu mengubah persepsi saya tentang kru kabin,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.

Katanya, memandangkan bapanya hanya bekerja sebagai buruh maka, peluang menaiki pesawat adalah sesuatu yang mustahil kecuali dia melanjutkan pelajaran di luar Sabah.

Aedra yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkata, dia turut menyimpan impian untuk mencuba kerjaya sebagai kru kabin biarpun dia bercita-cita untuk menjadi seorang pereka dalaman.

Berkongsi lanjut katanya, hakikat bahawa banyak peluang pekerjaan di lapangan terbang adalah perkara baharu yang diketahuinya termasuklah pasukan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS).

Olivianatasha Sylvester

Turut berkongsi keterujaan menaiki pesawat buat kali pertama adalah Olivianatasha Sylvester,17, yang berasal dari Kiulu, Tamparuli.

Anak kepada petani berkata, sebelum ini dia hanya nampak kapal terbang dalam filem sahaja dan memang tidak sama dengan pengalaman sendiri masuk dan duduk dalam pesawat. “Hari ini kami juga didedahkan dengan peluang kerjaya lain di lapangan terbang. Sebenarnya dalam bidang penerbangan bukan hanya ada pramugari dan juruterbang sahaja tapi, ada bahagian lain seperti AFRS,” katanya.

Kedua-dua pelajar MRSM itu antara 34 pelajar MRSM yang diberi peluang menyertai program lawatan Myairportcares School di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN