KUALA LUMPUR: “Saya tak kisah cakap orang.”
Demikian respons penyanyi, Ayu Damit, mengenai telahan netizen terhadap perubahan hidungnya.
Kata Ayu, dia letih melayan pelbagai andaian yang ditimbulkan mengenai perubahan berkenaan.
”Saya tidak boleh terlalu mengiyakan cakap netizen kerana yang menghadapi masalah kesihatan itu adalah saya.
“Jadi, apa yang baik diambil, manakala yang buruk, kita buang,” katanya yang ditemui pada sidang media Malam Laguan Puisi baru-baru ini.
Netizen baru-baru ini mendakwa Ayu melakukan prosedur untuk mencantikkan bentuk hidungnya susulan video yang tular, baru-baru ini.
Penyanyi itu bagaimanapun enggan komen lanjut meskipun diasak dengan pelbagai pertanyaan mengenai perkara itu.
“Saya tak perlu komen, video pun sudah saya kongsikan sebelum ini. Tidak perlulah saya gembar gemburkan lagi mengenainya.
“Saya tak mahu timbul perkara berbangkit, jadi lebih baik saya elakkan daripada bercakap banyak tentang perkara ini.
“Cuma saya mahu katakan, ada ramai lagi, bukan saya seorang,” katanya.
Namun Ayu mengakui prosedur yang dilakukan berhubung kait dengan masalah kesihatan yang dialaminya.
”Sekarang saya selesa bila bernafas, tidaklah asyik penat seperti sebelum ini. Saya pula selalu kurang tidur.
“Bangun pagi jadi tertekan dibuatnya. Sebab itulah saya tak kisah orang bercakap apa tentang saya.
“Kita lawa orang bising, tak lawa pun bising. Macam mana?” kongsinya.