Atasi segera isu buli siber - Wan Azizah

Atasi segera isu buli siber – Wan Azizah

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu penyelesaian segera diambil bagi memastikan isu buli siber dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak diatasi.

Wan Azizah berkata, pada masa ini isu berkenaan berada pada tahap serius dan perlu ditangani segera lantaran ada mangsa yang sanggup mengambil nyawa sendiri berikutan buli siber.

Beliau yang juga Pengerusi Kasih Malaysia berkata, anak-anak masih muda sedangkan dunia digital ini luas dan penuh cabaran, justeru tapisan ke atas pencarian dan maklumat di internet mereka perlu diawasi.

“Ibu bapa juga memainkan peranan aktif dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak dan mendidik mereka mengelak daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah di media sosial, termasuk menonton kandungan yang tidak sesuai atau terpengaruh dengan budaya negatif.

“Kita mahu anak-anak rajin membaca dan mencari ilmu bermanfaat, namun pada masa sama, kita juga perlu menggalakkan mereka mengembangkan bakat mereka dalam bidang seni, sukan, atau apa sahaja yang positif,” katanya berucap pada majlis perasmian program kembali ke sekolah 2025 bersama anak-anak Pulau Pinang.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) dan Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang ini merupakan program bantuan persekolahan melibatkan pemberian bantuan berbentuk beg sekolah, alat tulis dan wang tunai kepada 300 murid sekolah rendah.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara Pulau Pinang, Tan Lean Kee.

Sementara itu, Lean Kee berkata, Pertubuhan Wanita Mutiara dan Kasih Malaysia menganjurkan program bantuan dan sumbangan persekolahan, menyasarkan anak yatim dan anak-anak kurang berkemampuan di Pulau Pinang yang dikenal pasti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya