Asura: Perlukah perempuan diam untuk bahagia? - Utusan Malaysia

Asura: Perlukah perempuan diam untuk bahagia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA sebarang promosi yang bergempita, tiba-tiba sahaja platform over-the-top mengejutkan semua dengan penayangan tujuh episod drama baharu arahan sutradara berpengaruh sinema Jepun, Hirokazu Kore-eda.

Buat saya yang hanya mengenali beliau lewat filem seperti After Life, Nobody Knows dan terbaharu- cukup meraih pujian dan bahan percakapan peminat filem ialah Monster (turut memenangi anugerah dari Festival Filem Antarabangsa Cannes), kehadiran sebuah siri, Asura semacam pengalaman baru juga hadiah pembuka tahun baru.

Asura mengambil latar 1979 dari novel Mukoda Kuniko, Like Asura, cerita dibuka tentang empat orang beradik perempuan yang mahu mencari jalan setelah mengetahui bapa mereka yang sudah tua bangka menjalin hubungan terlarang dengan janda anak satu.

Mereka saling meneka-neka, adakah ibu mereka yang kerjanya memasak, menjahit dan mengurus rumah tahu mengenai perkara itu? Sekiranya ibunya tahu, perlukah dia meminta perceraian?

Saya berpendapat, Kore-eda tidak mengambil latar 70-an dengan saja-saja. Dia mahu menunjukkan bagaimana seorang perempuan harus diam dan bertahan kerana ketika itu cerai bukanlah suatu pilihan, tetapi hukuman.

Sebagai wanita, ada satu dialog yang cukup mengguris saya berbunyi – adakah hidup tanpa mempersoal, atau menggoncangkan amarah adalah cara wanita untuk kekal bahagia dalam perkahwinan?

Rupanya, ibu mereka tahu suaminya berlaku curang. Dia tidak mempersoalkan apa-apa melainkan berdiri di hadapan rumah penyondol, memandang dengan mata kecewa sambil membawa barang masak buat suami yang bakal pulang kerja.

Dalam kecewa dan marah yang didiamkan, ibunya tetap menanti suaminya pulang. Mempercantik ranjang dan menelaah lukisan cara mengoda paling manja.

Asura dipersembahkan dengan teknik slow burn, Kore-eda mengambil masa membina karakter dan cerita di dua episod pertama, sebelum perlahan-lahan beberapa konflik terbuka. Bahang ceritanya mula terasa, marak dan membakar bermula dari episod ketiga.

Saya awalnya tidak mengerti mengapa Kore-eda menamakan siri ini sebagai Asura. Tapi selepas khatam tujuh episod, saya faham bahawa beliau mahu menceritakan betapa kompleksnya seorang perempuan.

Seperti Asura dalam mitos Jepun- separa Tuhan yang menawarkan keindahan, dendam, amarah pada masa yang sama. Seperti adegan sajak Gubijinso, Natsume Soseki yang dibaca di dalam perpustakaan tentang kecantikan yang menakutkan.

HOMAJ JEPUN DI TAHUN 70-AN

Tidak hanya tentang perempuan. Tapi saya berpendapat Asura turut diihasilkan (walau adaptasi novel) dengan berhati-hati untuk memberi homaj kepada masa kecil dan membesar Hirokazu Kore-eda.

Dalam kepalanya (saya teka sahaja) mungkin Kore-eda yang mempunyai dua orang kakak sempat dibesarkan dengan kepercayaan masyarakat Jepun yang masih kuat.

Oleh sebab itu, hampir setiap episod ada sahaja tradisi atau kepercayaan tertentu yang diperkenalkan dalam Asura seperti Setsubun- upacara melempar kacang bagi menghalau syaitan dan menjemput keberkatan. Namun, turut diselitkan dialog di mana anak-anak mereka mencemuh dan menganggap perkara khurafat itu sekadar menyusahkan.

Juga perkara lain seperti petanda dalam mimpi, melukis sesuatu di tapak kaki orang sakit atau upacara mame-maki. Tolak tepi kepercayaan itu benar atau tidak, tapi kita tidak boleh menafikan bagaimana setiap upacara itulah yang mengeratkan keluarga dan tetangga.

Cerita empat perempuan tadi tamat. Tapi dalam kepada saya hanyalah ada Asura yang merakam kerinduan Hirokazu Kore-eda kepada Jepun yang hangat, sederhana, perlahan seperti memori masa kecilnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya