MUAR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 72 warga asing dalam operasi selepas menggempur sembilan kilang dan asrama haram di sini, termasuk empat buah rumah urut di Batu Pahat.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan menerusi Op Mahir dan Op Sapu itu susulan aduan awam berhubung sejumlah warga asing bekerja tanpa pas yang sah serta tidak memiliki dokumen perjalanan untuk tinggal di Malaysia.
“Seramai 374 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seramai 50 warga asing ditahan melibatkan 16 lelaki warganegara Bangladesh, 26 lelaki dan enam wanita Myanmar serta dua lelaki Pakistan berusia antara 21 tahun hingga 42 tahun yang disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Mohd Rosdi memberitahu, sebanyak enam notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Tambahnya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, di Batu Pahat, seramai 22 orang wanita berusia antara 20 hingga 42 tahun ditahan selepas serbuan ke atas empat buah rumah urut di bandar ini diserbu melalui Op Gegar.
Katanya, serbuan itu melibatkan penahanan 20 orang warganegara Thailand dan masing-masing seorang rakyat Indonesia serta Myanmar.
Katanya, turut ditahan tiga orang warga tempatan melibatkan seorang wanita berusia melibatkan seorang wanita berusia 70 tahun dan dua orang lelaki berumur 41 tahun. – UTUSAN