JOHOR BAHRU: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM75,000 tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Khairul Saberi Nyan, 41, mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Mohd. Khairul yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor didakwa meminta rasuah sebanyak RM50,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang disyaki terlibat dalam tawaran perniagaan menjual beli minyak diesel tidak wujud.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bapa tiga anak itu di JSJK, IPK Johor pada pukul 6 petang, 12 Oktober 2022.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, pegawai polis itu didakwa memperoleh RM10,000 dan RM15,000 daripada individu yang sama di sebuah restoran dekat Seri Alam pada pukul 9 malam, 5 Disember 2022 dan di sebuah stesen minyak di sini, pukul 2 petang, 14 Disember 2022.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan didakwa menerima dan setuju menerima rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang wanita, tahun lalu.
Tertuduh, Michael Anak Umap, 50, tidak mengaku salah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, Michael didakwa menerima rasuah RM1,000 daripada seorang wanita berusia 29 tahun bagi mengurangkan hukuman ke atas bekas suami wanita terbabit yang sedang disiasat. Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kluang pada 25 Ogos 2024.
Manakala pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa bersetuju menerima RM4,000 daripada individu sama bagi tujuan yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pegawai rendah polis itu di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor pada pukul 4.45 petang, pada hari yang sama.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama.
Mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Asmah Zainal Arifin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Atuffah Said.
Mahkamah membenarkan Mohd. Khairul diikat jamin sebanyak RM12,000, manakala Michael dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000.
Mereka turut dikenakan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM Negeri Johor sebulan sekali.
Kedua-dua ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mac depan bagi serahan dokumen. – UTUSAN