ASEAN pilih Australia rakan dialog baharu pelancongan

ASEAN pilih Australia rakan dialog baharu pelancongan

ROSLAN Abdul Rahman pada sidang akhbar sempena hari terakhir penganjuran ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025, di Johor Bahru, Johor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN senada dalam memilih Australia sebagai rakan dialog baharu dalam sektor pelancongan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, asas kepada pemilihan tersebut adalah untuk memperluas kerjasama ASEAN dalam sektor pelancongan yang sebelum ini membuka pintunya kepada China, Jepun, Korea Selatan, India dan Rusia.

Katanya, melalui kerjasama itu secara tidak langsung membolehkan produk-produk pelancongan yang berpotensi di seluruh negara anggota ASEAN dipromosikan di Australia.

“ASEAN tidak tengok (sebelah) timur sahaja, kita juga pandang juga ke barat dan utara dan ke sebelah selatan pula. Tambahan pula, Australia mempunyai kuasa membeli yang tinggi dan nilai matawang yang lebih besar.

“Selain itu, kita nak pupukkan lagi semangat kerjasama dan kita nak tengok apakah lagi produk-produk pelancongan yang boleh kita kongsi bersama dengan penduduk dari Australia,” tambahnya.

Roslan berkata demikian pada sidang akhbar sempena hari terakhir penganjuran ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025, di sini hari ini.

Penganjuran ATF 2025 di bandar raya ini menyaksikan beberapa sidang dan mesyuarat dianjurkan melibatkan pertemuan Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN dengan beberapa rakan dialog dalam sektor pelancongan melibatkan Japan, China, Korea Selatan dan India.

ATF 2025 yang bermula sejak Rabu dan berakhir hari ini dianjurkan bagi mempromosikan produk pelancongan serantau dan memudahkan pertukaran pengetahuan serta mewujudkan jaringan.

Ia antara lain bagi meningkatkan kerjasama dengan pemimpin dalam industri pelancongan global bagi menambah jumlan pelancong yang mengunjungi ASEAN.

Roslan menambah, mekanisma ASEAN-Australia itu sudah dibincangkan bersama dan kini dalam perancangan untuk merealisasikannya.

“Perkara ini dalam perancangan dan kita juga telah mengemukakan sebab-sebab mengapa kerjasama antara ASEAN dan Australia ini bertepatan dengan masanya.

“Alhamdulillah, Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjayakan perkara ini dan semua Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN telah bersetuju bahawa kita harus memperkukuh lagi kerjasama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya