LANGKAWI: Myanmar perlu mengutamakan proses untuk menamatkan keganasan di negara itu berbanding bercadang untuk mengadakan pilihan raya.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penghentian keganasan itu juga terkandung dalam Konsensus Lima Perkara (5PC) diperkenal sejak 2021 bagi mengembalikan kestabilan dan keamanan Myanmar.
Katanya, empat perkara lain dalam konsensus itu sudah dicapai melainkan usaha menghentikan keganasan dan penindasan terhadap rakyatnya.
“Ya mereka mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya, tetapi pilihan raya itu perlu inklusif. Ia tidak boleh diadakan secara tertutup. Ia perlu melibatkan semua segmen pihak berkepentingan.
“Namun, mengadakan pilihan raya secara tertutup yang hanya mewakili pihak tertentu dalam sektor masyarakat di Myanmar, saya rasa itu bukan keutamaan. Keutamaan sekarang adalah hentikan keganasan dan kembalikan keamanan di negaranya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini, hari ini. Dalam pemukiman itu, Myanmar diwakili oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya, Aung Kyaw Moe.
5PC dipersetujui pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada April 2021, dua bulan selepas tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi.
Antara kandungannya adalah penghentian segera keganasan; mengadakan dialog antara semua pihak; pelantikan utusan khas; membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak.
Menurut Mohamad, 5PC adalah asas untuk Myanmar kembali menjadi sebuah kerajaan yang demokratik sepenuhnya dan sebagai sebuah negara ASEAN, Myanmar perlu mematuhi kesepakatan itu sebagai tanggungjawab negara.
“Bagi memastikan 5PC dipatuhi Myanmar dengan dialog berterusan bersama negara ahli, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Othman Hashim dilantik Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai negara itu,” katanya.
Beliau berkata, Othman adalah individu yang sesuai untuk berunding dengan Myanmar dan rakan-rakan ASEAN lain berdasarkan pengalamannya yang luas.
“Dialog dan diplomasi sangat penting dan itulah sebabnya Tan Sri Othman dilantik sebagai Utusan Khas kita ke Myanmar, beliau boleh menjalankan tugasnya dengan bercakap kepada setiap segmen di Myanmar, supaya kita tahu apa yang mereka fikirkan.
“Ini kerana tanpa mengetahui apa yang mereka fikirkan, adalah sukar. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memaksa pematuhan 5PC ke atas mereka. Kita juga mahu tahu apa pandangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ASEAN tidak bercadang untuk menyingkirkan sementara keahlian Myanmar walaupun negara itu masih belum mematuhi kesemua 5PC yang digariskan.
Sebaliknya, Mohamad berkata, ASEAN mahu meneruskan pendekatan untuk mengadakan dialog dengan Myanmar berdasarkan konsensus tersebut.-UTUSAN.