ASEAN bukan 10 negara tetapi 11 - Mohamad

ASEAN bukan 10 negara tetapi 11 – Mohamad

BENDITO Freitas (dua kanan) menghadiri Pemukiman Menteri Luar ASEAN sebagai pemerhati dalam mesyuarat yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di Langkawi - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Malaysia sekali lagi menyuarakan negara anggota ASEAN untuk memastikan penyertaan penuh semua negara Asia Tenggara selaras prinsip sebenar keterangkuman yang menjadi tema tahun ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dipercayai merujuk kepada Timor-Leste berkata, penyertaan negara itu yang kini berstatus pemerhati perlu disokong kesemua 10 negara ASEAN lain.

“Menerusi usaha ini, kami berharap ia akan diterjemahkan dalam keanggotaan ASEAN bahawa Asia Tenggara bukanlah sebuah wilayah dengan 10 negara tetapi terdapat 11 daripada kita.

“Dengan kesemua 11 negara ini berhak untuk turut serta sepenuhnya dalam sebuah organisasi yang memperjuangkan kesejahteraan rantau ini,” katanya dalam ucaptama Pemukiman Menteri Luar ASEAN, hari ini.

Pada sesi kali ini, Timor-Leste disertai Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasamanya, Bendito Freitas sebagai pemerhati.

Mohamad berkata, kredibiliti ASEAN bergantung kepada kemampuannya menegakkan prinsip yang diperjuangkan, sambil menggesa semua negara anggota menukar retorik kepada tindakan.

“Kita berharap semua negara anggota mengambil maklum bahawa jika kita tidak menunjukkan keterangkuman dalam organisasi kita, semua retorik kita akan menjadi kosong. 

“Kita mesti mengotakan kata-kata dan membuktikan kepercayaan serta sokongan terhadap satu sama lain,” katanya.

Timor-Leste diiktiraf sebagai negara pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keanggotaan penuh pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Tahun lalu, Mohamad berkata, Malaysia mahu proses membabitkan dokumentasi untuk keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dipermudahkan dan usaha untuk negara itu menjadi anggota penuh ASEAN sedang dilaksanakan dan dipercepatkan.

“Banyak dokumentasi yang perlu dilakukan, (ada) perjanjian, mesyuarat, kerjasama tetapi dokumen terbabit adalah berasaskan ekonomi dan kita sudah meminta tonggak ekonomi untuk melihat serta mengkaji jika boleh dipendekkan senarai keperluan terbabit.

“Kerana bagi saya, ada juga ahli ASEAN sedia ada belum lagi mencapai sepenuhnya syarat (sebagai negara anggota penuh), jadi kenapa kita tak boleh beri Timor-Leste laluan awal menjadi ahli penuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya